Pages

Tuesday, June 30, 2009

Berjuang

Fitrah kehidupan yang diciptakan oleh Allah di atas muka bumi ini, apabila adanya kelompok yang ingin melaksanakan kebaikan maka akan lahir pula satu kelompok yang akan menentangya. Sejarah telah memaparkan kepada kita semua bagaimana senario ini telah dilalui oleh mereka yang bergelar pejuang di sepanjang zaman, bermula pada zaman para nabi dan rasul sehingga kepada generasi seterusnya.



Hakikat ini perlu difahami kerana ianya merupakan satu fonamena yang akan ditempuhi oleh semua yang bakal bergelar seorang Da'ie. Hal ini kerana ia merupakan pasang surut dalam perjuangan yang tidak mampu untuk dielakkan. Kadang-kala perjuangan yang kita bawa diterima dan kadang-kala perjuangan kita ditentang oleh segelintir manusia. Ada waktu kita dipuji ketika berjuang dan ada waktu kita akan dicaci dan dihina. Terdapat satu ketika dengan berjuang kita mampu bergembira takala misi yang dirancang dapat dilaksanakan. Terkadang pula, dengan berjuang boleh menyebabkan kita menangis dan bersedih. Itulah asam garam dalam perjuangan bagi kehidupan seorang Da'ie.

Oleh sebab itu perlu difahami, bukan mudah untuk menyeru manusia melakukan kebaikan kerana seorang Da'ie itu terlebih dahulu mesti berhadapan dengan seribu satu bentuk mehnah dan halangan. Berbagai-bagai pengorbanan harus dilakukan di sepanjang jalan dakwah, sama ada berhempas-pulas mengorbankan tenaga mahupun wang ringgit semata-mata untuk memastikan agar misi dakwah dapat dicapai.

Ujian Allah semestinya akan senantiasa memburu seorang Da'ie dari segenap penjuru sama ada dalaman mahupun luaran sebagai tarbiah terus dariNya. Natijahnya, kita dapat menilai golongan yang benar-benar benci kepada perjuangan yang di bawa atau golongan yang bersikap hasad dengki kepada diri serta jawatan yang disandang oleh seseorang.

Sirah telah membuktikan kepada kita, betapa situasi ini telah dihadapi oleh sebahagian daripada utusan Allah SWT dengan gemilang ketika berada di dalam medan perjuangan. Nabi Nuh AS tidak cukup dengan dakwahnya ditentang oleh umat-umatnya, lantaran itu diikuti pula dengan darah daging sendiri iaitu anak dan isterinya. Nabi Ibrahim AS pula selepas penentangan oleh kaum-kaumnya ketika berdakwah, kemudian di ikuti pula oleh bapanya sendiri yang tidak mahu menerima seruan beliau. Demikian juga seperti yang dihadapi oleh nabi kita Saidina Muhammad SAW, selain daripada ditentang dakwah baginda oleh suku Quraisy, pada masa yang sama baginda SAW terpaksa berhadapan dengan kaum kerabat sendiri.

Inilah perjuangan dan halangan yang tidak boleh tidak, mesti dilalui oleh seorang Da'ie sama ada dia mahu atau sebaliknya. Oleh kerana itu, janganlah telalu bersikap mempermudah-mudahkan bagi mereka yang baru berjinak-jinak di dalam berjuang sekiranya belum lagi merasai susah senang berada di medan tersebut. Disebabkan itu juga, janganlah terlalu beranggapan mudahnya hidup di lembah perjuangan ini. Jangan terlalu mengharapkan sesuatu yang manis ketika berjuang selagi kita belum diuji kerana hakikatnya ia merupakan satu medan yang begitu mencabar emosi dan minda sebagai deorang DA'IE.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

{(Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.)} [Al-Ankabut :2-3]

Akan tetapi semua ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk kita mengambil sikap melarikan ataupun mengasingkan diri daripada kancah perjuangan. Kita harus sedar bahawa semua ini bukannya suatu pekara yang baru akan tetapi ianya merupakan fitrah dan telah dilalui oleh para nabi dan rasul serta generasi pejuang di sepanjang zaman. Dan kitalah penyambung mata rantai perjuangan murni tersebut.

Secara tuntasnya, untuk renungan kita bersama, bukan mudah untuk berjuang kerana sesungguhnya perjuangan ini memerlukan pengorbanan sepahit hempedu bagi mencapai kejayaan serta kemenangan semanis madu. Disamping itu, kita amat dituntut supaya bersikap saling bantu-membantu, tegur-menegur, hormat-menghormati, kasih-mengasihi di antara satu sama lain. Elakkan sikap perselisihan, perbalahan, tidak menegur sapa di antara satu dengan yang lain. Lantaran itu, elakkan jurang perbezaan antara seorang da'ie (pemimpin) dan mad'u (orang yang dipimpin). Ketahuilah bahawa sekiranya semua ini tidak mampu untuk dielakkan, mana mungkin sesuatu gerak-kerja itu mampu dilaksanakan.

Mudah-mudahan Allah Taala menjadikan kita dalam kalangan mereka yang berjuang dengan mengikut cara serta kaedah yang sebenar. Berjayanya sebuah perjuangan itu hanyalah dengan mengikut cara yang telah diajar oleh Allah dan RasulNya seperti mana yang telah termaktub di dalam Al-Quran dan Sunnah baginda SAW. Dalam masa yang sama, kita perlu mengikhlaskan diri di dalam berjuang. Elakkan daripada berasa sesuatu yang dilakukan demi mengharapkan habuan, pujian serta jolokan gelaran kerana semua itu akan menyebabkan seorang pejuang itu sia-sia di dalam perjuangannya.

Akhirnya marilah sama-sama kita berdoa agar Allah Taala mempermudahkan gerak kerja kita dalam medan perjuangan ini. Disamping itu agar kita sentiasa bersabar dengan ujian yang mendatang kerana dengan kesabaran ini akan menyebabkan datangnya pertolongan daripada Allah Taala, Insyallah. Firman Allah SWT yang bermaksud:

{(Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.)}

No comments: