Pages

Thursday, December 4, 2008

kayu sugi & siwak

Bersiwak atau lebih dikenali dengan bersugi kini jarang-jarang sekali dilakukan oleh kita sebagai seorang Islam. Ia merupakan amalan Rasulullah SAW yang sering dilakukannya sebelum menyempurnakan setiap pengambilan wuduk bagi menunaikan solat. Pernahkah kita terfikir apakah kelebihan bersiwak? Kenapa Rasullullah SAW begitu mementingkan amalan siwak, serta menggalakkan umatnya sentiasa mengamalkannya sehingga pernah bersabda di dalam beberapa hadisnya:

Dari riwayat Abu Hurairah ra daripada Rasulullah SAW (1) :(لولا أن أشق على أمتي لأمرتهم بالسواك مع كل الصلاة)
Daripada Aisyah ra bahawasanya Rasullullah SAW bersabda (2)(السواك مطهرة للفم مرضاة للرب)

Malah kini telah wujud berbagai penemuan ilmiah dari sudut sains berkaitan dengan kayu siwak serta hikmahnya kepada kesihatan mulut dan gigi. Daripada beberapa kajian yang telah dikaji dan direkodkan kajiannya oleh Profesor Doktor Abdullah Abdul Ar-Razak Mas’ud As-Sa’id di dalam bukunya yang bertajuk “Siwak, Perhatian Berat Dalam Pengamalannya Untuk Kesihatan Gigi” antaranya adalah:

1) Kayu siwak terdiri daripada beberapa ciri yang boleh kita dapati daripada “gall tree”(3) yang dipercayai sebahagian daripada bahagian tumbuhan atau pokok yang secara saintifiknya mempunyai bahan anti-kulat juga sebagai bahan lawas untuk penghadaman. Malah kini terkenal di dalam penggunaan anti pengaliran darah (pembekuan darah). Namun Doktor Abdullah Abdul Razak menegaskan bahawa kayu siwak adalah bersih serta ciri-ciri yang terkandung di dalamnya boleh membersihkan gusi serta gigi manusia serta merawat luka kecil yang terdapat pada gigi kita serta menghalang pengaliran darah daripadanya.

2) Bahan yang terdapat di dalam siwak mempunyai perkaitan dengan sejenis minyak yang dinamakan “Sinigrin”(4) (minyak biji sawi @ mustard). “Sinigrin” ini juga digunakan di dalam pembuatan sejenis agar-agar yang digabungkan dengan gula yang boleh kita dapati daripada buah anggur. Namun dengan penggunaan sejenis enzim “Myrosinaze enzymes” dapat memisahkan agar-agar itu kepada dua komponen semula, iaitu minyak “Sinigrin” dan gula anggur. Hasil minyak ini baunya cukup kuat malah rasanya pahit dan hangat, seperti apa yang dirasai oleh sesiapa yang baru pertama kali menggunakan kayu siwak. Kajian turut membuktikan bahawa bahan ini boleh membantu dalam membunuh beberapa jenis kuman.

Begitu juga kajian oleh seorang ketua bagi Institut Kajian Kuman dan Wabak di salah sebuah universiti di Jerman (Rostod University) bahawa kesan daripada bahan yang terdapat di dalam kayu siwak sama seperti kesan “Penisillin” (sejenis anti-biotik) yang membantu malah boleh membunuh pertumbuhan kuman dan diantara salah satu contoh kumannya adalah “Staphylococcus”.

Perkara ini juga yang dipersetujui oleh salah seorang hakim syari’e di Universiti Karachi Pakistan, Profesor Abdul Hamid yang mengatakan bersiwak boleh membunuh sebanyak lima jenis kuman yang terdapat pada mulut kita. Malah disokong kenyataannya oleh teman seperjuangannya Profesor Mohamad Walid Hamud yang mengatakan kayu siwak yang biasanya digunakan untuk bersugi adalah daripada sejenis kayu “Ud Al-Arak”(5) di antara tumbuhan perubatan yang mengandungi bahan perekat gam (adhesive), bahan penyuci, bahan pengawet (masam), bahan pewangi, bahan hablur silika, dan bahan yang mengandungi garam mineral.

Kajian yang lain mengatakan tumbuhan perubatan ini “Ud Al-Arak” adalah sejenis tumbuhan yang strukturnya terdiri daripada bahan fiber yang mengandungi sodium karbonat, dan ia merupakan bahan kimia yang banyak kelebihannya di dalam penghasilan ubat gigi malah kini setelah kajian lebih meluas daripada kayu siwak dilakukan, terdapat penghasilan sejenis bahan kimia pada strukutur kayunya dikenali dengan nama saintifiknya sebagai “Tannic Acid” yang boleh menghalang jangkitan kepada gusi dan menghalang pembentukan karies gigi.

Kesimpulannya, berikut merupakan beberapa fakta tentang struktur kimia yang telah dinyatakan oleh seorang pakar farmasi (penyediaan ubat) yang dikenali sebagai Sallahuddin Hanafi setelah beberapa eksperimen dijalankan ke atas ubat gigi yang dihasilkan daripada kayu siwak:.

1) Ia mengandungi beberapa sumber garam mineral, sodium klorida (sodium chloride), kalsium, sodium, fosfat (phosphate), zat besi, silica, dan lain-lain lagi. Ternyata sebahagian daripanya mempunyai faedah yang tersendiri pada gigi serta gusi manusia. Di antaranya, bahan klorin yang terdapat di dalam sodium klorida membantu mengekalkan keputihan kepada gigi kita.

2) Ia juga mengandungi minyak yang berbau harum (essences oil), merupakan sejenis minyak yang mempunyai haruman yang menyegarkan yang hampir sama dengan haruman ubat gigi yang berada di pasaran pada hari ini. Kajian mengatakan bahawa minyak ini warnanya perang kemerah-marahan. Boleh dikatakan salah satu daripada faedah bersiwak adalah mengelakkan bau yang tidak menyenangkan hasil tinggalan sisa-sisa makanan di antara celah gigi kita.

Begitulah di antara beberapa faedah daripada kayu siwak, dan beberapa maklumat dari sudut saintifiknya. Malah tidak dinafikan, semakin banyak kajian serta eksperimen telah dilakukan di beberapa buah negara samada di Timur Tengah, Eropah, Amerika, dan beberapa buah negara lain tentang kelebihan daripada amalan bersiwak. Sehingga kini telah muncul pelbagai produk moden bagi ubat gigi, atau bahan pencuci mulut yang bahan-bahannya adalah daripada pencampuran kayu siwak ini.

Namun begitu, kita sebagai pewaris umat Rasullullah SAW, nabi junjungan yang telah dipilih oleh Allah SWT sepatutnya berasa bersyukur kerana umat Islam adalah populasi yang aslinya telah didedahkan dengan amalan bersiwak ini.

Sesungguhnya, agama Islam merupakan satu anugerah yang tidak terhingga yang dikurniakan oleh Allah SWT bersama dengan “role model” yang begitu sempurna iaitu Rasullullah SAW kepada kita. Tidak dinafikan, segala yang datangnya dari kata-kata serta perbuatan Saiyidina Muhammad SAW adalah datangnya daripada Pencipta agung bagi seluruh makhluk di muka bumi ini, ALLAH SWT. Bukankah agama Islam merupakan agama yang cukup ideal dan sempurna, merangkumi dari segala aspek kebaikan di dunia dan ganjaran bagi yang bertakwa di akhirat kelak...SUBHANALLAH!

(1) Al-Bukhari 1/ 283 nombor hadis (13458) dan dari Muslim 1/220 hadis 42 / 252.
(2) An-Nasaie 1/10, Ibnu Khuzaimah 1/70 nombor hadis 135.
(3) Sejenis pokok oak.
(4) Bahan kimia terhasil daripada pertumbuhan fungus atau kulat seperti bintik hijau untuk membunuh kuman yang menyebabkan penyakit.
(5) Sejenis tumbuhan daunnya boleh dimakan binatang ternakan dan batangnya dibuat untuk bersugi.