Pages

Friday, June 26, 2009

Abu Ubaidah Al – Jarrah


Beliau ialah seorang sahabat Rasullah s.a.w yang di janjikan syurga secara khusus oleh baginda s.a.w . nama beliau yang sebenar ialah Amir bin Abdullah bin Al-Jarrah Al- Qurasyi Al- Fihri, salah sebuah kabilah di Mekah. Bertemu nasabnya dengaan Nabi s.a.w pada datuknya yang ke 7, Fihr bin Malik. Bapanya Abdullah membesar dan meninggal dalam agama kaumnya. Tetapi ibunya, Umaimah binti Ghanim bin Jabir memeluk islam semasa hayat Nabi s.a.w.


Abu Ubaidah Al- Jarrah seorang yang kurus ,redup wajahnya, berjanggut nipis serta tinggi tubuhnya. Dia juga mengenakan inai pada janggutnya. Sebahagian ahli sejarah menyifatkan sifat dan juga akhlaknya saling tidak tumpah seperti Abu Bakar As-Siddiq r.a. beliau dilahirkan di Mekah pada tahun ke 27 sebelum kenabian , yakni sebaya dengan Umar Al- Khatab r.a dan lebih muda dari Rasullah s.a.w 13 tahun.


Semasa zaman mudanya, beliau banyak menghabiskan masanya dengan amalan – amalan kufur dan syirik kafir Quraisy, jahil dengan tujuan hidup sebenar insane di alam ini, memuliakan adat resam Arab serta mempertahankan upacara-upacara berhala. Beliau juga turut terlibat dalam urusan perniagaan warisan keluarganya, sering berulang – alik dalam menguruskan barang dagangannya selain berkhidmat kepada kedua – dua orang tuanya. Selain itu , Abu Ubaidah juga aktif dalam majlis – majlis jahiliah untuk membesar besarkan kaabah sebelum memeluk islam ketika berumur 27 tahun.


Amir bin Abdullah lebih terkenal dengan jolokan Abu Ubaidah setelah beliau memeluk islam. Malah, Rasullah s.a.w juga memanggilnya dengan gelaran tersebut. Tambahan lagi, baginda s.a.w telah melantiknya untuk memegang jawatan yang paling penting di sisi baginda S.A.W iaitu sebagai Aminul Ummah , bagi memegang amanat dan rahsia Nabi s.a.w dan juga ummah seluruhnya. Oleh kerana itu, beliau banyak berdamping dengan Nabi s.a.w selain terlibat dalam peperangan dan peristiwa – peristiwa penting Islam sepanjang hayat baginda s.a.w.


Beliau hanya meriwayatkan 15 buah hadith, iaitu yang di muatkan di dalam kitab-kitab sunnah. Antara sahabat r.a yang meriwayatkan hadith dari beliau termasuklah Jabir bin Abdullah, Samurah bin Jundud, Abu umamah Al- Bahili, Irbadh bin Sariah, Abu Thal'bah Al Khusyani dan ramai lagi. Manakala dari kalangan tabien pula ialah Aslam hamba Umar, Abdul Rahman bin Ghanam Al-'Asyaari, 'Iyadh bin 'Uhaif, Qaif bin Abu Hazim dan Nashirah bin Suma.


Abu Ubaidah r.a juga terlibat dalam pembukaan tanah – tanah jajahan Islam semasa zaman khilafah Abu Bakar As- Siddiq dan Umar r.a, termasuklah pembukaan Dimashq dan tanah Syam seluruhnya. Hayatnya dijemput oleh Allah s.w.t pada tahun 18 H, riwayat termasyur dari para sejarawan.

No comments: