Pages

Thursday, December 4, 2008

kayu sugi & siwak

Bersiwak atau lebih dikenali dengan bersugi kini jarang-jarang sekali dilakukan oleh kita sebagai seorang Islam. Ia merupakan amalan Rasulullah SAW yang sering dilakukannya sebelum menyempurnakan setiap pengambilan wuduk bagi menunaikan solat. Pernahkah kita terfikir apakah kelebihan bersiwak? Kenapa Rasullullah SAW begitu mementingkan amalan siwak, serta menggalakkan umatnya sentiasa mengamalkannya sehingga pernah bersabda di dalam beberapa hadisnya:

Dari riwayat Abu Hurairah ra daripada Rasulullah SAW (1) :(لولا أن أشق على أمتي لأمرتهم بالسواك مع كل الصلاة)
Daripada Aisyah ra bahawasanya Rasullullah SAW bersabda (2)(السواك مطهرة للفم مرضاة للرب)

Malah kini telah wujud berbagai penemuan ilmiah dari sudut sains berkaitan dengan kayu siwak serta hikmahnya kepada kesihatan mulut dan gigi. Daripada beberapa kajian yang telah dikaji dan direkodkan kajiannya oleh Profesor Doktor Abdullah Abdul Ar-Razak Mas’ud As-Sa’id di dalam bukunya yang bertajuk “Siwak, Perhatian Berat Dalam Pengamalannya Untuk Kesihatan Gigi” antaranya adalah:

1) Kayu siwak terdiri daripada beberapa ciri yang boleh kita dapati daripada “gall tree”(3) yang dipercayai sebahagian daripada bahagian tumbuhan atau pokok yang secara saintifiknya mempunyai bahan anti-kulat juga sebagai bahan lawas untuk penghadaman. Malah kini terkenal di dalam penggunaan anti pengaliran darah (pembekuan darah). Namun Doktor Abdullah Abdul Razak menegaskan bahawa kayu siwak adalah bersih serta ciri-ciri yang terkandung di dalamnya boleh membersihkan gusi serta gigi manusia serta merawat luka kecil yang terdapat pada gigi kita serta menghalang pengaliran darah daripadanya.

2) Bahan yang terdapat di dalam siwak mempunyai perkaitan dengan sejenis minyak yang dinamakan “Sinigrin”(4) (minyak biji sawi @ mustard). “Sinigrin” ini juga digunakan di dalam pembuatan sejenis agar-agar yang digabungkan dengan gula yang boleh kita dapati daripada buah anggur. Namun dengan penggunaan sejenis enzim “Myrosinaze enzymes” dapat memisahkan agar-agar itu kepada dua komponen semula, iaitu minyak “Sinigrin” dan gula anggur. Hasil minyak ini baunya cukup kuat malah rasanya pahit dan hangat, seperti apa yang dirasai oleh sesiapa yang baru pertama kali menggunakan kayu siwak. Kajian turut membuktikan bahawa bahan ini boleh membantu dalam membunuh beberapa jenis kuman.

Begitu juga kajian oleh seorang ketua bagi Institut Kajian Kuman dan Wabak di salah sebuah universiti di Jerman (Rostod University) bahawa kesan daripada bahan yang terdapat di dalam kayu siwak sama seperti kesan “Penisillin” (sejenis anti-biotik) yang membantu malah boleh membunuh pertumbuhan kuman dan diantara salah satu contoh kumannya adalah “Staphylococcus”.

Perkara ini juga yang dipersetujui oleh salah seorang hakim syari’e di Universiti Karachi Pakistan, Profesor Abdul Hamid yang mengatakan bersiwak boleh membunuh sebanyak lima jenis kuman yang terdapat pada mulut kita. Malah disokong kenyataannya oleh teman seperjuangannya Profesor Mohamad Walid Hamud yang mengatakan kayu siwak yang biasanya digunakan untuk bersugi adalah daripada sejenis kayu “Ud Al-Arak”(5) di antara tumbuhan perubatan yang mengandungi bahan perekat gam (adhesive), bahan penyuci, bahan pengawet (masam), bahan pewangi, bahan hablur silika, dan bahan yang mengandungi garam mineral.

Kajian yang lain mengatakan tumbuhan perubatan ini “Ud Al-Arak” adalah sejenis tumbuhan yang strukturnya terdiri daripada bahan fiber yang mengandungi sodium karbonat, dan ia merupakan bahan kimia yang banyak kelebihannya di dalam penghasilan ubat gigi malah kini setelah kajian lebih meluas daripada kayu siwak dilakukan, terdapat penghasilan sejenis bahan kimia pada strukutur kayunya dikenali dengan nama saintifiknya sebagai “Tannic Acid” yang boleh menghalang jangkitan kepada gusi dan menghalang pembentukan karies gigi.

Kesimpulannya, berikut merupakan beberapa fakta tentang struktur kimia yang telah dinyatakan oleh seorang pakar farmasi (penyediaan ubat) yang dikenali sebagai Sallahuddin Hanafi setelah beberapa eksperimen dijalankan ke atas ubat gigi yang dihasilkan daripada kayu siwak:.

1) Ia mengandungi beberapa sumber garam mineral, sodium klorida (sodium chloride), kalsium, sodium, fosfat (phosphate), zat besi, silica, dan lain-lain lagi. Ternyata sebahagian daripanya mempunyai faedah yang tersendiri pada gigi serta gusi manusia. Di antaranya, bahan klorin yang terdapat di dalam sodium klorida membantu mengekalkan keputihan kepada gigi kita.

2) Ia juga mengandungi minyak yang berbau harum (essences oil), merupakan sejenis minyak yang mempunyai haruman yang menyegarkan yang hampir sama dengan haruman ubat gigi yang berada di pasaran pada hari ini. Kajian mengatakan bahawa minyak ini warnanya perang kemerah-marahan. Boleh dikatakan salah satu daripada faedah bersiwak adalah mengelakkan bau yang tidak menyenangkan hasil tinggalan sisa-sisa makanan di antara celah gigi kita.

Begitulah di antara beberapa faedah daripada kayu siwak, dan beberapa maklumat dari sudut saintifiknya. Malah tidak dinafikan, semakin banyak kajian serta eksperimen telah dilakukan di beberapa buah negara samada di Timur Tengah, Eropah, Amerika, dan beberapa buah negara lain tentang kelebihan daripada amalan bersiwak. Sehingga kini telah muncul pelbagai produk moden bagi ubat gigi, atau bahan pencuci mulut yang bahan-bahannya adalah daripada pencampuran kayu siwak ini.

Namun begitu, kita sebagai pewaris umat Rasullullah SAW, nabi junjungan yang telah dipilih oleh Allah SWT sepatutnya berasa bersyukur kerana umat Islam adalah populasi yang aslinya telah didedahkan dengan amalan bersiwak ini.

Sesungguhnya, agama Islam merupakan satu anugerah yang tidak terhingga yang dikurniakan oleh Allah SWT bersama dengan “role model” yang begitu sempurna iaitu Rasullullah SAW kepada kita. Tidak dinafikan, segala yang datangnya dari kata-kata serta perbuatan Saiyidina Muhammad SAW adalah datangnya daripada Pencipta agung bagi seluruh makhluk di muka bumi ini, ALLAH SWT. Bukankah agama Islam merupakan agama yang cukup ideal dan sempurna, merangkumi dari segala aspek kebaikan di dunia dan ganjaran bagi yang bertakwa di akhirat kelak...SUBHANALLAH!

(1) Al-Bukhari 1/ 283 nombor hadis (13458) dan dari Muslim 1/220 hadis 42 / 252.
(2) An-Nasaie 1/10, Ibnu Khuzaimah 1/70 nombor hadis 135.
(3) Sejenis pokok oak.
(4) Bahan kimia terhasil daripada pertumbuhan fungus atau kulat seperti bintik hijau untuk membunuh kuman yang menyebabkan penyakit.
(5) Sejenis tumbuhan daunnya boleh dimakan binatang ternakan dan batangnya dibuat untuk bersugi.

Thursday, August 28, 2008

PERSIAPAN PARA DA'I


Sesebuah Harakah Islamiyah perlu didukungi oleh para da’i berkemampuan dan sentiasa bersedia dalam melakukan usaha-usaha ta’rif (dakwah),takwin (tarbiyah),tanfiz (pelaksanan tugas) dan tamkin (pengukuhan).
Dalam menjalankan kegiatan dakwah,setiap da’i hendaklah memiliki beberapa Persiapan yang perlu untuk memastikan mereka akan terus istiqamah di atas jalan perjuangan ini.Diantara langkah-langkah yang perlu diberikan perhatian ialah:

PERSIAPAN ILMU

Senjata pertama yang perlu dimilki oleh setiap da’i ialah persipan ilmu. Secara keseluruhannya,setiap da’i perlu memahami persoalan aqidah, akhlak ,hukum-hukum fiqh serta persoalan dakwah dan jihad yang merangkumi proses pembetukan jamaah , pelaksanaan dakwah , proses mengambil alih kuasa pemerintahan, penggubalan perlembagaan, pelaksanaan sistem pendidikan, sosialisasi masyarakat, penguatkuasaan undang-undang dan konsep hubungan antarabangsa Islam sebagaimana yang terkandung di dalam Al-quran, As-Sunnah dan sejarah islam. Sekurang-kurangnya setiap da’i berkewajipan mengetahui ajaran dan sistem hidup islam secara umum, pendekatan dakwah yang sesuai digunakan dalam menghadapi masyarakat, perkembangan politik semasa. Sebagai para pendokong harakah islamiyah, setiap da’i hendaklah memahami penubuhan, perlembagaan, pengurusan dan pentadbiran harakah islamiyah yang diperjuangkannya.

Demi keberkesana dakwah, setiap da’i perlu mengetahui ilmu dan selok-belok dakwah seprti uslub dakwah, sasaran dakwah, kandungan dakwah, strategi dakwah, perancagan dakwah dan pengurusan dakwah.
Sebagai pelengkap kepada ilmu-ilmu di atas, seseorang da’i juga perlu menguasai beberapa bidang ilmu yang lain seperti bahasa Arab, ilmu Usuluddin , Usul al-Fiqh, ilmu Maqasid al-Syariah, Fiqh al-awlawiyat, al-Siyasah al- Syar’iyah serta sejarah pemerintahan dan pembinaan hukum islam.

Kemantapan ilmu akan menjadikan para da’i lebih berkemampuan dalam memberikan gambaran yang jelas sama ada berkenaan asas-asas ajaran islam dan hukum-hukum islam yang bersifat ilmiah dan semasa seperti tahaluf siyasi, konsep Negara islam, kedudukan non-muslim di dalam Negara islam, hubungan antarabangsa islam dan lain-lain.

PERSIAPAN MENTALITI

Diantara persiapan yang perlu dimiliki oleh setiap da’i ialah sifat bijaksana (fatanah) iaitu mempunyai daya berfikir yang tinggi dalam mengembangkan fikrah dakwah, membahagikan tugasan, menyelesaikan masaalah, mengenalpasti kelemahan, mencari sasaran, membuat keputusan dan mengambil peluang daripada sesuatu kesempatan yang berkaitan dengan kepentingan dakwah islam yang diperjuangkannya.
Seseorang da’i yang telah memiliki persiapan ilmu yang memadai, mempunyai pelbagai pengalaman daripada usaha-usaha dakwahnya, bijaksana dalam memupuk daya kepimpinannya secara lansung akan memilii mentalitinya yang tiggi dalam mengenalpasti kekuatan, kelemahan, peluang, ancaman, taktik dan strategi yang berkesan dalam memimpin gerakan dakwah harakah islamiyah ke arah mencapai misi ,visi dan objektif yang ditetapkan.

PERSIAPAN JASMANI

Setiap da’i berkewajipan menjaga kesihatan jasmani dengan cara mengambil makanan dan minuman yang seimbang dan berkhasiat .Lantaran itu, setiap da’i berkewajipan menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu yang mendatangkan mudarat kepada dirinya seperti merokok dan sebagainya.

Setiap da’i juga berkewajipan mempertingkatkan kekuatan dan ketangkasan anggota jasmaninya melalui aktiviti-aktiviti yang tertentu seperti bersenam, berenang ,menungang kuda, menembak dan selebihnya.

PERSIAPAN ROHANI, AKHLAK, DAN DAYA KEPIMPINAN

Diantara persiapan rohani yang perlu dimilki oleh para da’i ialah meniggalkan perbuatan dosa dan maksiat, mempertingkatkan kesucian jiwa dengan sifat wara’ dan amalan ketaatan, sabar dalam mengharungi ujian dakwah serta merindui keampunan dan keredaan yang maha kuasa.

Manakala akhlak pula perlu dipersiapkan dengan secara menhindarkan daripada sifat marah , “ego” dan keras hati, membiasakan diri dengan sifat sabar dan pemaaf, menyucikannya dengan akhlak-akhlak yang mulia dan mempertingkatkannya dengan mentauladani jejak langkah Rasullah-صلي الله عليه وسلم –

Berhubung dengan persiapan daya kepimpinan pula, setiap da’i mestilah bijak mempelajari dan mengambil pengajaran daripada pengalaman dan daya kepimpinan orang lain, seseorang da’i yang memiliki persiapan diatas diharapkan lebih berjaya dalam mempengaruhi masyarakat berbilang bangsa dan seterusanya mencapai matlamt dakwah dan politik.